KUALA LUMPUR 13 Mei – Wasiyyah Shoppe Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Seri Dr. Yusup Che Teh sebagai Pengerusi Panel Syariah baharu menggantikan Ridzuan Awang yang bersara atas sebab kesihatan.
Menurut Wasiyyah Shoppe, Yusup Che Teh mulai terlibat secara aktif di dalam proses pembangunan produk dan perkhidmatan apabila dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Panel Syariah pada awal 2018.
Katanya, ahli lain Panel Syariah Wasiyyah Shoppe , Dr. Mohd. Zamro Muda, Dr. Noor Lizza Mohd. Said, Prof. Madya Dr. Nasrul Hisham Nor Muhammad, Dr. Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani dan Sulaiman Kadimi.
“Panel Syariah merupakan antara komponen teras operasi Wasiyyah Shoppe dan berfungsi untuk mengawal selia proses pembangunan, operasi produk, perkhidmatan baharu serta perkhidmatan sedia ada.
“Ia juga termasuk pembangunan dan semakan format dokumen berdasarkan undang-undang semasa serta memastikan kepatuhan syariah segala aspek produk dan perkhidmatan serta operasi syarikat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Yusup berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Syariah Universiti Islam Negeri Sultan Syariff Kasim, Riau, Indonesia dan berpengalaman lebih 30 tahun sebagai pegawai dan hakim mahkamah syariah.
Jawatan terakhir beliau sebelum bersara ialah sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Putrajaya.
Beliau juga aktif memegang tanggungjawab dalam Jawatankuasa Jurnal Hukum Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jawatankuasa Kecil Biasiswa Yayasan Al-Bukhary dan Pengerusi Panel Syariah Co-op Bank Pertama.
Sebagai syarikat amanah patuh syariah yang mengguna pakai amalan baik tadbir urus korporat, Wasiyyah Shoppe sentiasa memastikan kesemua produk dan perkhidmatan dibangunkan sepenuhnya mengikut hukum syarak dan undang-undang syariah yang berkuat kuasa di Malaysia serta telah melalui proses saringan ketat, dibahaskan dan diluluskan oleh panel syariahnya.











