PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berharap agar Ramadan kali ini benar-benar mampu mendidik umat Islam menjadi umat yang bertakwa.
Jelasnya, didikan itu merangkumi dari sudut vertikalnya iaitu hubungan dengan Allah SWT dan sudut horizontalnya iaitu hubungan sesama makhluk.
“Biar Ramadan kali ini menjadikan kita semua jaguh kemanusiaan sejagat,” katanya dalam satu perutusan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Wan Azizah turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama memanfaatkan peluang sedaya upaya mungkin pada Ramadan kali ini.
Jelasnya, ini agar bulan mulia itu tidak berlalu pergi begitu sahaja sedangkan hubungan dengan Allah SWT masih di takuk lama.
Beliau turut menyingkap tentang peribadi Nabi Muhammad SAW yang cergas dan sangat arif menguruskan agenda hidup baginda.
“Pengurusan hidup yang seimbang di antara keperluan rohani, spiritual dan khidmat masyarakat adalah kunci kejayaan umat Islam sejagat,” katanya. – K! ONLINE











