PEKAN 16 Mei – Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang baharu bagi menggantikan Prof. Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim.
Pelantikan itu menyaksikan Wan Azhar, 52, menjadi Naib Canselor UMP keempat untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa dari 16 Mei hingga 15 Mei 2022.
Beliau yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan memiliki kelulusan Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Michigan Ann Arbor, USA (1990), Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal di Rensselaer Polytechnic Institute, USA (1992) dan Doktor Falsafah (Teknologi Pembuatan Termaju) di Universiti Sains Malaysia (2004).
Wan Azhar sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP sejak 1 Disember tahun lalu.
Mula berkhidmat sebagai pensyarah UMP di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal sejak 2004, Wan Azhar pernah memegang jawatan sebagai Dekan di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan selama lima tahun bermula 2012.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik UMP dari 2011 hingga 2013.
Majlis serah terima tugas daripada Daing Nasir kepada Wan Azhar berlangsung di Dewan Senat, Canseleri UMP Kampus Pekan di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Ibrahim Ahmad. – UTUSAN ONLINE











