IPOH 24 Mei – Seramai 18 veteran Vat 69 Komando dan 35 orang balu menerima sumbangan pada Program Ziarah Kasih Veteran Vat 69 Komando sempena Ramadan di Ulu Kinta di sini hari ini.
Para veteran yang menerima sumbangan ini merupakan mereka yang mengalami hilang upaya serta kecederaan semasa menjalankan operasi.
Yang Dipertua Persatuan Veteran Vat 69 Komando, Datuk Abd. Rashid Harun berkata, sumbangan berkenaan merupakan tanda prihatin pihak persatuan terhadap kebajikan para veteran dan keluarga mereka.
Menurut beliau, program berkenaan yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) menerima sumbangan daripada pihak korporat dan individu termasuk warga polis.
“Ini merupakan program yang julung-julung kali diadakan yang kesemuanya melibatkan seramai 200 orang penerima terdiri daripada veteran iaitu seramai 50 orang dan balu (150) di beberapa buah negeri.
“Nilai sumbangan yang diberi mungkin tidak seberapa tetapi apa yang lebih penting ialah ingatan terhadap para veteran yang pernah mengerah keringat merpertahankan negara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan berkenaan di Rumah Persatuan Veteran Vat 69 Komando di sini.
Turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Affandi Senin dan Pengarah Kanan IIM, Dr. Mohd. Nizam Mohd. Ali.
Sementara itu salah seorang penerima, bekas Deputi Superintendan Mohd. Noor Razak mengucapkan terima kasih kepada pihak persatuan kerana mengambil berat kebajikan bekas anggota pasukan berkenaan.
Mohd. Noor yang merupakan penerima Pingat Gagah Berani mengalami kecederaan pada tangan semasa mengetuai Operasi Rambo II yang berjaya menumpaskan ketua lanun, Rizal Alih di Sabah pada tahun 2001. – UTUSAN ONLINE











