KUALA LUMPUR 2 Mei – Sebagai usaha meraikan kecemerlangan anak-anak petugas Utusan Melayu (M) Berhad dalam bidang pendidikan, syarikat itu berbesar hati meraikan mereka dalam sebuah majlis sederhana yang diadakan di Ibu Pejabatnya di Jalan Chan Sow Lin di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, seramai 17 penerima dengan dua orang meraih keputusan 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), sembilan orang bagi calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan enam orang bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Seramai 12 penerima dan wakil ibu bapa hadir menerima sumbangan wang ringgit, hadiah buku terbitan Tintarona Publications Sdn. Bhd. dan langganan percuma Tutor A Plus selama setahun daripada syarikat.
Majlis Penyampaian Hadiah Galakan Anak Utusan disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah syarikat, Datuk Ahmad Fauzi Zahari yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar Sumber Manusia Kumpulan Utusan, Mohd. Nazlan Osman dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah. -UTUSAN ONLINE











