KOTA BHARU 17 Mei – Komuniti Keusahawanan Midea ‘berkongsi keuntungan’ hasil perniagaan mereka apabila meraikan 35 anak-anak yatim dari Tunas Harapan Pakatan Kasih menerusi majlis berbuka puasa di sebuah hotel, di sini semalam.
Ketua Penyelaras Program Kumpulan Midea, Mohd. Suffian Ibraham berkata, majlis itu bertujuan menggalakkan usahawan kumpulan itu melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang Ramadan.
“Tidak salah kita menjadikan bulan Ramadan sebagai pemangkin untuk terus melipat gandakan gerak kerja amal dan CSR dalam kalangan usahawan di bawah kumpulan Midea ini.
“Kita harap dapat memupuk sifat-sifat terpuji dalam kalangan usahawan untuk sama-sama berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan terutama anak-anak yatim,” katanya ketika ditemui semalam.
Mohd. Suffian memberitahu, 35 anak yatim itu turut menerima sumbangan sebagai persiapan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Anak-anak yatim ini terpaksa menyambut lebaran tanpa ibu dan bapa. Diharap inisiatif ini sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada mereka,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE











