Usah sia-siakan tarawih - Utusan Malaysia

Usah sia-siakan tarawih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Benarkah ada segelintir ustaz menyatakan bahawa jika tidak solat tarawih pada bulan Ramadan tidak mengapa?

Jawapan: Menunaikan solat tarawih hukumnya sunat bukan wajib. Solat tarawih juga tidak sama seperti ibadah puasa Ramadan yang merupakan kewajipan kepada setiap Muslim.

Oleh itu, tidak mengapa jika solat tarawih tidak dilaksanakan, contohnya seseorang yang sibuk bekerja dan berniaga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walau bagaimanapun, menjadi satu kerugian jika kita tidak mengambil peluang untuk solat tarawih. Maka, bagi Muslim yang kelapangan masa, sewajarnya tidak disia-siakan solat tarawih walaupun hukumnya sunah yang sunat.

Syukur ganti istighfar

Adakah harus untuk menyebut lafaz syukur ‘Alhamdulillah’ selepas selesai solat kerana diberikan kekuatan untuk menyempurnakan ibadah tersebut?

Jawapan: Dalam riwayat, Rasulullah beristighfar selepas selesai solat. Maka lafaz zikir istighfar memohon ampun ini adalah lafaz yang terbaik.

Walau bagaimanapun, tidak salah untuk menyebut lafaz Alhamdulillah sejurus selesai solat.

Ini kerana keluasan dalam agama. Agama tidaklah sempit sehingga tidak boleh berkata apa-apa melainkan apa yang ada dalam riwayat hadis.

Bahkan lafaz istighfar selepas selesai solat bukanlah satu kewajiban.

NAIKKAN HARGA BARANG

Naikkan harga barang

Saya ke luar negara dan diminta membelikan satu barang. Haruskah bagi saya menaikkan harga barang untuk mendapat keuntungan?

Jawapan: Dalam perniagaan sudah tentu perlu ada keuntungan. Maka harga kos dan sebagainya diambil kira sebelum harga dimuktamadkan.

Jika sekadar kawan-kawan yang minta belikan satu barang, maka tidaklah perlu kita menaikkan harga.

Contohnya, kita ke luar negara dan kawan kita meminta kita membelikan sebatang pen.

Maka tidak sewajarnya kita menaikkan harga barang untuk keuntungan. Ini kerana kita bukanlah dalam industri perniagaan. Cuma sekadar menolong kawan.

KOPIAH JENAMA CAPAL

Kelebihan pakai kopiah lukisan capal

Apakah kelebihan dan fadhilat memakai kopiah atau topi yang ada lukisan bentuk capal Nabi SAW?

Jawapan: Lukisan capal itu bukanlah capal Rasulullah, sebaliknya sekadar bentuk lukisan yang dikatakan capal baginda.

Oleh itu, tiada apa-apa fadhilat dan kelebihan jika memakai kopiah atau topi sebegitu.

Dalam pengajian saya setakat ini, tiada hadis sahih, hasan atau dhaif yang menceritakan kelebihan memakai kopiah dengan lukisan bentuk capal Nabi.

Oleh itu, pakailah apa juga jenis kopiah asalkan ia menutup kepala.

Tidak juga salah untuk memakai kopiah yang ada lukisan bentuk capal Rasulullah, namun sama sahaja tanpa ada sebarang kelebihan tambahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini