LONDON 3 Mei – Manchester United bersedia untuk menampung separuh daripada jumlah gaji Alexis Sanchez kepada mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan pemain berniali 30 juta pound (RM161.85 juta) itu.
Sanchez gagal beraksi cemerlang seperti dia bersama Arsenal sejak menyertai United pada Januari tahun lalu dan gagal untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan.
Red Devils bersedia untuk melepaskannya pada musim panas ini dengan Ole Gunnar Solskjaer berhasrat untuk menjadikan United sebagai pencabar kejuaraan musim hadapan.
Bagaimanapun, United tahu bahawa gaji 500,000 pound (RM2.69 juta) seminggu Sanchez akan menjadi halangan terbesar untuk melengkapkan perpindahan itu.
Harga itu menyamai 26 juta pound (RM140.27 juta) setahun dan United bersedia untuk menampung sejumlah 13 juta pound (RM70.13 juta) bagi melepaskan pemain itu.
Mereka bagaimanapun tidak mahu melepaskan Sanchez kepada klab Liga Perdana Inggeris dan mereka sedang mencari kelab terbaik untuk penyerang Chile itu.-AGENSI











