KUALA LUMPUR 2 Mei – Siasatan polis terhadap lelaki yang memukul seorang wanita dipercayai berpunca daripada kemalangan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah melibatkan kes dadah dan khianat.
Video perbuatan lelaki itu tular dalam laman sosial hingga mengundang rasa marah di kalangan netizen.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Noor Azmi Yusoff berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang semalam.
“Mangsa memandu kereta Honda Civic di laluan kiri Jalan Dato’ Keramat sebelum seorang lelaki menaiki motosikal Honda Dash datang dari arah belakang kereta tersebut.
“Suspek kemudian telah memaki dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadu serta menuduh pengadu memasuki simpang tanpa memberikan isyarat lampu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Noor Azmi, suspek kemudian telah membuka topi keledar sebelum menghentaknya di atas bumbung kereta pengadu.
Jelasnya, suspek juga telah menumbuk dan menampar muka mangsa ketika dia keluar untuk melihat kerosakan yang dialami keretanya.
“Pengadu dibantu oleh orang awam yang berada di tempat kejadian telah membuat laporan polis sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Ampang, di sini,” ujarnya.
Noor Azmi berkata, siasatan rekod jenayah lampau terhadap suspek mendapati dia mempunyai lima rekod jenayah melibatkan kes dadah dan khianat.
Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Sivanathan Ratham di talian 016-590 3985 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999. – UTUSAN ONLINE











