Tujuh pasukan dapat jawapan daripada MFL - Utusan Malaysia

Tujuh pasukan dapat jawapan daripada MFL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Rayuan tujuh pasukan yang dikenakan hukuman susulan kegagalan pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018 kini telah mendapat jawapan hari ini.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan keputusan denda pemotongan geran ke atas Kuala Lumpur, Felda United, PDRM FA dan Pulau Pinang dikurangkan sebanyak 5 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 manakala Melaka United, Sarawak dan Kelantan dikurangkan sebanyak 10 peratus.

“Keputusan pengurangan 5 peratus dibuat menerusi penilaian Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas pasukan-pasukan terbabit menyerahkan bukti pembayaran hutang, pelan pembayaran hutang tertunggak, pelan kewangan perbelanjaan dan pendapatan terperinci pada musim 2019.
  
“Manakala denda pemotongan jumlah geran ke atas Melaka United, Sarawak dan Kelantan dikurangkan sebanyak 10 peratus kerana pasukan terbabit belum melengkapkan surat pengesahan daripada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu, ada di antara pasukan terbabit tidak menyerahkan pelan pembayaran tunggakan hutang dan bajet tahunan 2019,” kata MFL menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

Pada masa sama, MFL menjelaskan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua musim 2019 bermula hari ini sehingga 29 Mei depan terhadap Sarawak dan Kelantan dikekalkan selepas kedua-dua pasukan terbabit mengulangi kesalahan kali kedua berturut-turut.

Bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah MFL menerima rayuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan PDRM FA yang sebelum ini turut dikenakan denda sekatan perpindahan pemain selepas pasukan terbabit telah menyelesaikan sebahagian tunggakan hutang serta menyediakan pelan pembayaran tunggakan hutang. 

Tiga pasukan ini juga tidak dikenakan hukuman pemotongan tiga mata selepas mereka telah mengemukakan dokumen yang menunjukkan kestabilan kewangan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019, bukti serta dokumen jumlah tunggakan hutang yang telah diselesaikan.

Manakala denda pemotongan sebanyak tiga mata akan diaktifkan ke atas Melaka United, Sarawak dan Kelantan sekiranya dokumen-dokumen tertentu masih tidak diserahkan sebelum atau pada 22 Mei depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini