JITRA 13 Mei – Bagi mereka yang tidak biasa, makan sambil bersila di atas jalan tar, apatah lagi tanpa alas dan ‘berbumbungkan’ langit adalah sesuatu yang pelik.
Namun, berlainan pula bagi penduduk Kampung Padang Gelam, Mukim Naga di sini, yang tidak terlepas berbuat demikian untuk majlis berbuka puasa, setiap kali Ramadan menjelma.
Malah tradisi unik berusia lebih 60 tahun itu kini masih diteruskan, walaupun ramai generasi terdahulu yang antaranya pencetus idea tersebut telah ‘pergi’ meninggalkan mereka.
Maka, tidak hairanlah apabila saban tahun, acara itu disertai lebih 400 orang penduduk termasuk yang tinggal di kampung berdekatan seperti Kampung Pasir, Kampung Padang Pekan dan Kampung Naga.
Pengerusi masyarakat penduduk Kampung Padang Gelam, Zainol Ahmad, 57, berkata, aktiviti ini bermula sejak 1950-an yang ketika itu penduduk hanya bersila di atas rumput untuk berbuka puasa.
“Sejak saya lahir pun penduduk sudah mengadakan aktiviti ini sekurang-kurangnya sekali sepanjang Ramadan. Walaupun dahulu di atas rumput dan sekarang atas tar, tetapi lokasinya tetap sama iaitu di pekarangan surau di kampung ini,” katanya ketika ditemui.
Tambah Zainol, tujuan aktiviti itu diadakan adalah untuk penduduk kampung merapatkan hubungan ukhwah sesama mereka selain mahu menghidupkan semangat kerjasama dalam penyediaan makanan berbuka puasa.
Katanya, menu tradisi iaitu gulai daging adalah antara juadah wajib disediakan secara bergotong-royong oleh penduduk Kampung Padang Gelam bersama nasi minyak.
Menurut beliau, perbelanjaan untuk menjayakan majlis itu pula disediakan dengan cara mengumpul sumbangan daripada setiap rumah penduduk, namun pihak luar terutamanya orang perseorangan juga tidak pernah terlepas untuk menderma.
“Jika mengikut tradisi, bukan sahaja kami tidak menyediakan apa-apa pelapik walaupun ada penduduk yang mengalas dengan kotak atau surat khabar semasa makan.
“Bahkan, kami juga hanya berbumbungkan langit kecuali tahun ini terpaksa memasang khemah kerana cuaca yang tidak menentu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











