KUALA LUMPUR 10 Mei – Touch n Go mengambil inisiatif baharu kepada para pelanggan dan peniaga dengan menggunakan dompet elektronik atau eWallet ketika urusan jual beli di bazar Ramadan.
Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Syahrunizam Samsudin berkata, Touch n Go telah menjadikan bazar di Kampung Bharu sebagai lokasi pertama untuk mengimplementasikan penggunaan dompet elektronik sebagai bazar ‘kashless’.
“Inovasi tersebut adalah untuk berhubung dengan komuniti melalui teknologi yang lebih inklusif secara tidak langsung membawa manfaat kepada para pengguna dan peniaga. Kami memilih bazar di kampung tersebut kerana lokasinya yang terletak di arus pemodenan teknologi dan simbolik sebagai kawasan tempatan di tengah bandar.
“Inisiatif tersebut telah membuat perbincangan selama dua bulan dengan beberapa buah syarikat dan organisasi seperti Malaysia Airlines, Socar dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” katanya selepas majlis pelancaran Halaman Sempoi di Kelab Sultan Sulaiman di sini hari ini.
Lokasi itu juga membolehkan para pengunjung bazar ‘kashless’ berbuka puasa di situ selain para pelanggan yang menggunakan eWallet akan mendapat jumlah pulangan wang sehingga RM1,000,000 menerusi inisiatif Ketupat Runtuh dengan setiap pembelian di bazar tersebut.
Sementara itu, Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris berharap, rakyat Malaysia dapat menerapkan rasa lebih bertanggungjawab dalam mengurangkan pembaziran makanan serta menolak penggunaan plastik dalam bulan Ramadan ini.
“Setiap tahun kita akan lihat pelbagai jenis makanan dan plastik dibuang dan menyumbang kepada jumlah sampah terkumpul yang menjadi sangat banyak.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakyat di negara ini untuk tidak menggunkan plastik dan membawa bekas makanan sendiri ketika membeli juadah berbuka puasa di bazar ‘kashless’,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE











