KUALA LUMPUR 8 Mac – Tewas dalam dua perlawanan terakhir berturut-turut meletakkan Pahang ibarat ‘harimau luka’ apabila menerima kunjungan Terengganu dalam suku akhir kedua Piala FA, Jumaat ini.
Tiga hari selepas Terengganu FC memberi kekalahan pertama kepada Tok Gajah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini menerusi kemenangan 2-1 pada suku akhir pertama Piala FA, anak-anak buah Dollah Salleh dikecewakan pula oleh Petaling Jaya City (PJ City) 2-0 pada aksi Liga Super, Sabtu lalu.
Dua kekalahan itu memberi tamparan hebat buat Pahang yang turun selaku juara bertahan, namun beraksi di depan penyokong sendiri esok, mereka sudah bersedia melakukan kebangkitan semula.
“Pemain kami nampak keletihan ketika kalah dalam dua perlawanan lalu, selepas berehat beberapa hari saya mereka akan kembali dengan permainan terbaik.
“Dalam dua aksi terdahulu, kita sebenarnya mencipta banyak peluang, malang sekali ia tidak dapat disudahkan dengan jaringan.
“Kita sudah bersedia untuk aksi seterusnya dan tidak boleh terikut-ikut rentak dua kekalahan berturut-turut, sudah tiba masanya kita bangkit,” kata pengendali Pahang, Dollah Salleh.
Penyerang berbisa Pahang, Dickson Nwakaeme tidak dapat diturunkan dalam dua perlawanan terakhir Tok Gajah dan belum pasti boleh beraksi atau tidak pada aksi genting suku akhir esok. – UTUSAN ONLINE











