KUANTAN – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot Vietnam serta menahan 14 nelayan dan tekong dari negara itu ketika kejadian pagi semalam.
Pegawai Memerintah KD Pahang, Komander Mehamad Khairun Zakaria berkata, bot bersama awak-awak dan tekong berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan di lokasi 130 batu nautika dari arah timur laut di perairan negeri ini berhampiran Kemaman, Terengganu.
“Semasa kapal KD Pahang bersama aset APMM melakukan rondaan, didapati sebuah bot Vietnam menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda yang dilarang di perairan negara.
“Selepas menyedari kehadiran kapal TLDM, bot berkenaan cuba meninggalkan lokasi tetapi sempat dipintas dan ditahan,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.
Ujar beliau lagi, semua nelayan asing berkenaan diserahkan kepada APMM untuk siasatan serta tindakan lanjut. – K! ONLINE











