Tiga pemain tempatan perkuatkan PDRM FA - Utusan Malaysia

Tiga pemain tempatan perkuatkan PDRM FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Mei – Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) ternyata berada di landasan terbaik untuk memburu kelompok empat terbaik dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Walaupun masih terlalu awal untuk menyatakan perkara tersebut ekoran liga yang baru memasuki pusingan kedua, namun kemasukan tiga tenaga tempatan bagi jendela perpindahan kedua yang telah dibuka minggu lalu menambahkan lagi kekuatan skuad kendalian E. Elavarasan.

PDRM FA yang pada mulanya bermula agak perlahan pada permulaan liga, kini pasukan itu dilihat antara pencabar terkuat, apatah lagi selepas menewaskan pendahulu Liga Perdana, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) minggu lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengurus PDRM FA, Datuk Kamarul Ariffin Mohd. Shahar yakin gandingan pemain baharu dan sedia ada mampu memperkuatkan lagi cabaran mereka selepas berjaya meleburkan rekod tanpa kalah JDT II di Pasir Gudang minggu lalu.

Tambahnya, kemasukan R.Gopinatha dari Melaka United secara pinjaman, Mohd. Farid Ramli (Kuala Lumpur) dan Stuart Wart (Pulau Pinang) menjelang aksi berdepan Sarawak di Stadium Hang Jebat, Melaka malam esok akan menambah lagi kekuatan pasukan.

“Kemasukan tiga pemain tempatan ini akan menambahkan lagi sengat buat pasukan. Kalau lihat daripada prestasi semasa dan jika ia dikekalkan maka tidak mustahil kita mampu menamatkan saingan di kedudukan empat terbaik.

“Untuk dua aksi liga dalam bulan Ramadan ini, saya harap kita mampu mengutip enam mata penuh sekali gus memperbaiki kedudukan liga.

“Mungkin terlalu awal untuk dikatakan tapi jika kita berjaya menamatkan saingan liga dikedudukan keempat dan JDT II serta Terengganu FC II di tangga satu dan dua maka peluang kita layak ke Liga Super musim depan adalah cerah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

PDRM juga turut diperkuatkan pemain import baharu dari Perancis, David Manga Lembe namun bekas pemain belia Paris Saint-Germain (PSG) itu masih dalam tempoh percubaan dan difahamkan akan ditandatangani pada minggu depan.


Skuad PDRM FA kini menduduki kedudukan ketujuh liga dengan kutipan 12 mata setelah mencatatkan tiga kemenangan, tiga seri dan lima kekalahan dalam 11 perlawanan musim ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini