PUTRAJAYA 10 Mei – Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) diteruskan selepas tiada halangan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.
Perkara itu dicapai dalam perbincangan Governans Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC) dengan pihak berkaitan dengan usul penubuhan IPCMC termasuk PDRM yang diketuai Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bersama kira-kira 20 pegawai dari semua bahagian berkaitan di jabatan polis termasuk persatuan-persatuannya.
Selain PDRM, perbincangan itu turut disertai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Setiausaha Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Mohamad Onn Abd. Aziz.
Ketua Pengarah Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, ke arah itu kertas Kabinet tentang penubuhan IPCMC dijangka akan dibentang selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Pada perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan dengan usul untuk mewujudkan IPCMC, dengan kira-kira 20 pegawai terdiri dari semua bahagian berkaitan di jabatan polis termasuk persatuan-persatuannya.
“Semasa perbincangan itu tadi, Alhamdulillah, kita telah bercakap dari hati ke hati dan banyak perkara yang menjadi perhatian dan kebimbangan daripada pihak polis telah diterangkan bagaimana kebimbangan mereka itu dikendalikan semasa kita buat kertas Kabinet serta mendraf undang-undang tersebut yang dikemukakan kepada kerajaan nanti.
“Jadi secara ringkasnya, perbincangan tadi amat positif dan kita akan mengadakan satu perbincangan teknikal nanti, tetapi pada prinsipnya, saya boleh nyatakan di sini tiada halangan, sokongan diberi kepada kerajaan untuk menubuhkan IPCMC,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu jelas Abu Kassim, terdapat beberapa perkara yang perlu dibincangkan dahulu sebelum ia disempurnakan dalam tempoh masa seminggu dua ini sebelum ianya dibawa ke Kabinet.
Pada 2 Mei lalu, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan sebagai berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi mengemukakan bantahan berhubung beberapa perkara membabitkan penubuhan IPCMC.
Mohamad Fuzi memberitahu, antara perkara yang diusulkan berhubung penubuhan IPCMC, terutamanya menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, mendapat bantahan daripada banyak pihak dalam PDRM.
Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa SPP yang dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri akan bertanggungjawab atas pelantikan, promosi dan semua isu mengenai tatatertib pegawai polis. – UTUSAN ONLINE











