KUALA LUMPUR 24 Mei – Kerajaan tidak akan menetapkan harga siling bagi syarikat penerbangan di negara ini, sebaliknya meminta mereka menambahkan jumlah penerbangan khususnya menjelang musim perayaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah penetapan harga siling pada musim perayaan akan mengakibatkan syarikat penerbangan menaikkan purata harga mereka pada hari biasa.
Jelasnya, inisiatif penambahan jumlah penerbangan pula akan memberi lebih banyak pilihan kepada penumpang untuk memilih kadar tambang penerbangan yang diinginkan.
“Kita memang minta syarikat penerbangan menawarkan harga tambang tetap seperti AirAsia yang menawarkannya bagi beberapa destinasi, tetapi semua tiket-tiket ini apabila dilancarkan terus habis dijual.
“Kita telah berbincang dan kajian dah dibuat oleh pihak Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), maka pendekatan telah diambil untuk minta dahulu syarikat terbabit tambah bilangan penerbangan, kita tak letakkan harga siling supaya purata harga dapat diturunkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perkhidmatan bas ekspres tambang murah milik Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Ekspres Musafir di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak bahawa harga tiket penerbangan domestik yang tinggi menjelang Hari Raya Aidilfitri awal Jun nanti.
Anthony berkata, tiket penerbangan domestik akan meningkat pada musim perayaan berikutan permintaan yang tinggi.
“Tambang meningkat apabila tinggal beberapa kerusi dan permintaan tinggi, jadi akan lihat harga tambang tinggi. Tetapi secara puratanya, kebanyakan orang yang dapat beli (tiket) , mungkin harganya bukan setinggi yang digambarkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain katanya, Kementerian Pengangkutan masih menunggu laporan lengkap daripada pihak polis, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berhubung kemalangan di Jalan Pantai-Bukit Tangga, Jelebu, semalam.
“Berdasarkan lihat rekod audit dari APAD, bas itu bergerak pada had kelajuan biasa. Kita difahamkan ketika kemalangan berlaku, bas tersebut bergerak pada kelajuan 35 kilometer sejam.
“Jadi, kami masih menunggu laporan lengkap apakah punca kemalangan itu berlaku dan sentiasa memantau setiap syarikat pengusaha bas supaya mematuhi segala aspek keselamatan yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











