RANTAU PANJANG 17 Mei – Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, di sini tidak ketinggalan berusaha merebut ganjaran pahala di bulan Ramadan apabila menganjurkan program Tadarus al-Quran dan solat sunat tarawih setiap hari.
Ketua Balai, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, program tadarus yang berlangsung setiap pagi itu disertai oleh semua anggota bertugas pada hari tersebut.
Menurutnya, aktiviti itu dipimpin Pegawai Bomba Kanan 1 Zaimi Samat dan secara tidak langsung dapat membantu para anggota memperbaiki bacaan al-Quran mengikut cara berpandukan hukum tajwid yang betul.
“Program ini adalah idea spontan yang dicadangkan oleh Zaimi pada hari pertama Ramadan dan apabila mendengar idea itu, saya tanpa berfikir panjang terus bersetuju.
“Lagipun beliau mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang agama,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Imran memberitahu, setiap hari anggota terlibat akan baca sebanyak lima muka surat -al-Quran dan sehingga hari ini mereka sudah memasuki juzuk ke empat iaitu Surah An-Nisa.
“Kita buat solat tarawih di dalam balai untuk memberi kemudahan kepada anggota yang bertugas supaya mereka dapat menunaikan ibadat tersebut yang dipimpin oleh pelajar tahfiz dari Pusat Tahfiz Darul Riyad.
“Ini adalah satu lagi usaha kita supaya anggota tidak terlepas peluang untuk beribadah walaupun sedang bertugas,” katanya. – UTUSAN ONLINE











