Suspek kes samun empat kedai serbaneka ditahan polis - Utusan Malaysia

Suspek kes samun empat kedai serbaneka ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM 3 Mei – Dalam tempoh 48 jam, empat kedai serbaneka 24 jam di sekitar Seberang Jaya dipecah masuk oleh seorang penyamun yang menggunakan sebilah pedang samurai sebagai senjata utama untuk melakukan jenayah berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan licik penyamun berkenaan yang berusia 23 tahun akhirnya tumpas semalam apabila dia ditahan polis dalam satu serbuan kira-kira pukul 5 pagi di Flat Ampang Jajar, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya menerima empat laporan mengenai kejadian samun yang dilakukan oleh suspek dalam tempoh 48 jam yang lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Suspek telah menyamun sebuah kedai serbaneka sebuah stesen minyak di Butterworth-Kulim Ekspressway (BKE) kira-kira pukul 8 pagi, Rabu lalu.

“Dalam kejadian itu, suspek mengambil tiga kotak rokok daripada juruwang kedai serbaneka terbabit namun enggan membayar sebelum melarikan diri,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pada pukul 12.30 tengah malam semalam, suspek yang sama juga telah menyamun sebuah kedai serbaneka di Jalan Jelawat, Seberang Jaya.

“Suspek kononnya mahu membeli 30 kotak rokok namun juruwang di kedai tersebut curiga dengan kelakuan suspek dan ternampak satu objek menyerupai pedang samurai yang disorok di belakang badan suspek.

“Suspek kemudiannya terus keluar dari kedai dan juruwang terbabit kemudiannya masuk ke dalam bilik staff untuk menghubungi polis,” katanya.

Tambah beliau, dalam kejadian ketiga kira-kira pukul 1 pagi semalam, suspek menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Taman Pauh di sini dan melarikan 40 kotak rokok serta wang tunai berjumlah RM36.

“Suspek sama juga dipercayai terlibat menyamun sebuah lagi kedai di Taman Chai Leng dengan melarikan 75 kotak rokok serta wang tunai berjumlah RM161 pada hari yang sama,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, suspek didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau dan serta rekod dadah dan kini ditahan reman selama empat hari. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini