Sindiket rokok seludup  di ibu negara tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket rokok seludup  di ibu negara tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Dua lelaki tempatan yang aktif menjalankan kegiatan pengedaran rokok seludup di sekitar ibu negara ditahan dalam Op Asap yang dilakukan oleh Bahagian Perisikan dan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, di kawasan Jinjang di sini Selasa lalu. 

Pengarah JKDNKA, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, operasi dilakukan pihaknya selepas menerima maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan pengedaran rokok-rokok seludup itu. 

“Dua lelaki tempatan berusia 38 dan 59 tahun telah berjaya ditahan dan semakan yang dilakukan mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Turut dirampas dalam op berkenaan adalah sejumlah 1,734 karton rokok seludup pelbagai jenama, sebuah kereta milik suspek dan wang tunai berjumlah RM4,400,” katanya dalam satu kenyataan di sini. 

Menurut Acryl Sani, kesemua rokok seludup yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM275,192 selepas cukai ditaksirkan dan keseluruhan rampasan bernilai RM304,592. 

“Kedua-dua suspek direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul selama tiga hari hingga 17 Mei ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut. 

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” tegas beliau. – K! ONLINE 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini