KUALA LUMPUR 10 Mei – Penyerang import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun enggan dilabel sebagai pengganti penjaring terbanyak 2018, Rufino Segovia yang kini mengalami kecederaan.
Dia sebaliknya mahu hadir dalam skuad Selangor sebagai seorang pemain yang berbeza bagi membantu Red Giants mengharungi baki musim 2019.
Sejak ketiadaan Segovia yang masih berehat panjang, kem Red Giants tempang di bahagian serangan dan kini menjadi tugas utama Olusegun memperkuatkan semula jentera pasukan dengan penyudah berkesan.
Pastinya, ia bukan tanggungjawab mudah untuk menerajui serangan namun itu tidak menjadi tekanan kepada Olusegun untuk memastikan harapan pengendali, B. Satianathan kepadanya tidak sia-sia.
Jelas bekas penyerang Melaka United itu, dia mahu mencipta sejarah tersendiri bersama Selangor dengan meledak jaringan seperti mana lapan gol yang pernah dijaringkan ketika bersama kelab lamanya.
“Saya hadir dalam pasukan Selangor sebagai seorang pemain yang baharu dan tidak mahu dianggap menggantikan sesiapa termasuklah Segovia.
“Segovia dan saya dua pemain berbeza dan saya hanya ingin fokus kepada pasukan ini dengan cara saya tersendiri bagi bantu rakan sepasukan raih kejayaan pada musim ini.
“Bermain bola sepak tidak boleh terlalu merasai tekanan di mana saya sendiri tidak mahu terbeban menggalas tugas sebagai penyerang sebaliknya mahu menikmati seberapa banyak perlawanan sebaik mungkin”, katanya.
Olusegun yang juga pernah menyarung jersi Felda United disambar oleh Selangor sebaik sahaja jendela perpindahan kedua pemain dibuka pada 2 Mei lalu dengan kontrak sehingga penghujung musim ini.
Satianathan pernah bekerjasama dengan Olusegun sebelum ini ketika bersama Felda pada 2017 sebelum pemain itu berpindah ke Melaka musim lalu.
Jelas Satianathan, penyerang berusia 28 tahun itu memiliki ciri-ciri yang diinginkan sebagai penyelamat kepada ketumpulan penyudah pasukan sejak ketiadaan Segovia.
Aksi pertamanya bersama Selangor adalah pertembungan dengan Kedah, Rabu depan dengan harapan dia mampu membantu pasukan kembali ke tangga ketiga Liga Super.
“Tiada yang mustahil untuk kami merampas kembali kedudukan ketiga daripada Kedah apabila kini perbezaan hanyalah satu mata dan saya percaya dengan semangat luar biasa pemain-pemain kali ini.
“Dengan adanya Olusegun, sekurang-kurangnya pasukan kini memiliki kekuatan tambahan daripada aspek serangan tetapi saya sebagai jurulatih tidak boleh terlalu beri tekanan kepadanya dan dia sendiri perlu tahu tugas yang dipikul untuk bantu pasukan”, katanya. – BERNAMA











