LONDON – Dua pemain penyerang, Sadio Mane dan Pierre-Emerick Aubameyang yang berjaya menjaringkan gol pada aksi terakhir Liga Perdana England (EPL) kelmarin berkongsi anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak bersama bintang Liverpool, Mohamed Salah.
Aubameyang meledakkan dua gol buat Arsenal ketika menewaskan Burnley 3-1 dan menyertai Salah serta rakan sepasukannya, Mane dengan jumlah 22 jaringan selepas pemain Senegal tersebut menjaringkan satu gol ketika menewaskan Wolverhampton 2-0 di Anfield.
Penyerang Mesir, Salah pula merangkul gelaran ini buat kali kedua selepas melakukannya pada musim lepas dengan 32 gol.
Jumlah 22 gol yang dilakukan ketiga-tiga pemain itu adalah yang terendah sejak musim 2010-11 ketika Dimitar Berbatov dan Carlos Tevez berkongsi anugerah berkenaan dengan 20 jaringan.
“Saya berkongsi Kasut Emas ini dengan dua lagi pemain kegemaran saya yang juga berasal dari tempat yang sama dengan saya iaitu benua Afrika. Ia satu pencapaian yang hebat,” jelas Aubameyang.
Sementara itu, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp turut meluahkan rasa terkejutnya selepas mengetahui bekas penyerangnya di Borussia Dortmund itu turut memenangi anugerah berkenaan.
“Auba juga menang? Adakah mereka akan dianugerahkan tiga Kasut Emas? Pencapaian ini sangat bagus kerana mereka semua adalah pemain saya,” kata Klopp.
Sementara itu, Salah, 26, menjadi pemain keenam yang menerima Kasut Emas sebanyak dua kali berturut-turut selepas kali terakhir penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane melakukannya pada 2015-16 dan 2016-17. – Agensi











