KUALA LUMPUR 8 Mei – Harga saham di Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini dipengaruhi oleh peningkatan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, penurunan nilai ringgit dan kelemahan komoditi.
Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.82 mata untuk ditutup kepada 1,633.55 daripada paras penutup 1,639.37 pada Selasa, dengan saham produk pengguna menerajui penurunan.
Indeks itu dibuka pada 1,635.56 turun sebanyak 3.81 mata dan berlegar antara paras 1,627.38 dan 1,635.56 sepanjang hari dagangan.
Keseluruhannya, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 551 berbanding 265 dengan 396 kaunter tidak berubah, 694 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.
Jumlah dagangan susut kepada 2.47 bilion saham bernilai RM2.06 bilion daripada 3.02 bilion saham bernilai RM2.25 bilion pada Selasa. -BERNAMA











