Hala tuju pasaran boleh jadi menaik, menurun ataupun bergerak secara mendatar dalam jajaran kecil. Maka, bilakah masa yang sesuai untuk memasuki pasaran?
Membeli saham boleh berlaku dalam keadaan apa sekalipun. Sama ada pasaran sedang bergerak naik atau aliran menurun.
Sekiranya membeli saham semasa pergerakan menaik, pelabur atau pedagang saham perlu menjual saham syarikat tersenarai pada harga lebih tinggi.
Tetapi, pada ketika pasaran mengalami penurunan, pelabur atau pedagang saham perlu menjual saham apabila pasaran mencatatkan aliran menaik.
Nampak secara teorinya amat mudah, hakikatnya ia tidaklah semudah itu kerana ramai yang terperangkap membeli saham semasa harga sedang naik dan tidak dapat menjualnya pada harga yang lebih tinggi.
Terdapat banyak harga saham naik yang mana pelabur dan pedagang membelinya dengan harapan pergerakan menaik akan berterusan tetapi ia tidak seperti yang diharapkan.
Harga saham menurun sejurus pembelian biasa terjadi. Justeru, pelabur dan pedagang perlu memegang saham tersebut dan menunggunya sehingga harga saham naik semula supaya dapat mengaut keuntungan.
Terperangkap
Apakah yang perlu kita lakukan sekiranya terperangkap membeli saham pada harga tinggi?
Langkah-langkah yang perlu diambil harus disertakan dengan kajian ilmu analisis asas dan teknikal tanpa membuat tindakan sebarangan.
Apa jua tindakan sama ada menjual atau membeli sehinggakan untuk cut loss sekalipun, harus dibuat setelah menjalankan kajian berdasarkan analisis asas dan teknikal termasuk merujuk kepada sentimen pasaran ketika itu.
Strategi
Perkara-perkara yang harus dipertimbangkan sama ada untuk membeli, menjual atau cut loss sesuatu saham syarikat tersenarai;-
> Merujuk kepada asas syarikat tersenarai tersebut dan semak penyata kewangan syarikat.
> Melihat prestasi bursa serantau dan juga indeks pasaran Amerika Syarikat DJIA.
> Menyemak carta pergerakan saham yang disimpan sama ada merupakan isyarat untuk membeli atau menjual termasuk juga carta pergerakan indeks FBM KLCI.
> Merujuk kepada sentimen pasaran atau trend pasaran semasa. Sebagai contoh, adakah bulan tersebut positif atau negatif untuk melabur?
Setelah pelabur dan pedagang membuat penilaian atau kajian saham-saham yang berada dalam portfolio mereka yang telah merosot, tindakan seterusnya yang boleh diambil ialah:-
> Membiarkan sahaja saham tersebut dalam potfolio pelaburan.
> Mengambil tindakan menjual mana-mana pegangan saham yang dirasakan tidak perlu disimpan atau tidak berkualiti.
> Membeli lagi saham-saham sama yang sedang mengalami penurunan harga.
Sekiranya pelabur dan pedagang mengambil tindakan menjual mana-mana pegangan saham yang dirasakan tidak perlu atau berpotensi jatuh disebabkan berita atau perkara negatif, pelabur dan pedagang saham boleh berhenti seketika setelah melupuskan pegangan.
Emosi
Strategi tunggu dan lihat ini melatih pelabur dan pedagang saham mendisiplinkan diri, mengawal diri serta emosi selain bertujuan melihat pergerakan pasaran sama ada berpotensi untuk jatuh lagi atau sebaliknya.
Sekiranya pasaran masih berada di dalam proses menurun, pelabur dan pedagang saham boleh menunggu harga saham menjadi semakin murah untuk dibeli.
Sebaliknya, setelah menjual saham-saham yang dirasakan tidak perlu disimpan atau mendapati ada yang lebih berpotensi untuk dibeli, pelabur dan pedagang bolehlah memasuki semula pasaran selepas melupuskan saham-saham yang tiada potensi atau tidak berkualiti.
Juga, sekiranya dalam portfolio pelaburan terdapat saham-saham yang jatuh dengan banyak dan pelabur serta pedagang masih mempunyai lebihan modal pelaburan, mereka boleh membeli lagi saham syarikat yang sama yang dipanggil sebagai strategi averaging down.
Melabur atau berdagang saham kadang-kala memerlukan sedikit masa untuk menghasilkan pulangan. Kita tidak boleh membuat anggapan untuk mencatat keuntungan dalam pasaran saham sekelip mata walaupun tidak dinafikan terdapat keadaan apabila saham yang dibeli mencatat kenaikan dalam sekelip mata.
Sekiranya suasana atau iklim pasaran lemah atau tidak memberangsangkan, kita perlu menunggu supaya harga saham yang dibeli itu naik dan memberi pulangan.










