JOHOR BAHRU 15 Mei – Sejumlah RM692,952.48 wang Kelab Sukan dan Kebajikan (KSK) Majlis Perbandaran Segamat (MPS) dilucut hak oleh Mahkamah Tinggi 1 Muar hari ini kerana kesalahan aktiviti pengubahan wang haram yang dilakukan oleh pengerusi kelab itu tahun lalu.
Mahkamah memutuskan wang yang dilucut hak itu diserahkan sebagai hasil kerajaan Malaysia seperti mana permohonan perintah yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim Datuk Halijah Abbas membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan lucut hak yang dikemukakan SPRM.
SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala responden tidak diwakili peguam.
Seramai empat responden dinamakan SPRM ke atas kes itu iaitu Pengerusi KSK MPS, Abd. Rahman Auf Ramdzan, Setiausaha KSK MPS, Siti Zubaidah Rustan, Bendahari KSK MPS, Ismail Suratman dan Kelab Sukan dan Kebajikan Majlis Perbandaran Segamat.
SPRM sebelum ini menjalankan siasatan ke atas Pengerusi KSK MPS kerana melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan menerima, memindah dan menggunakan hasil haram daripada kes pecah amanah jenayah ke Akaun Semasa Bank Islam milik kelab untuk kegunaan KSK MPS yang mana sepatutnya ia merupakan hasil MPS. – UTUSAN ONLINE











