Rezeki Ramadan Damai Pelita - Utusan Malaysia

Rezeki Ramadan Damai Pelita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kehadiran bulan Ramadan sangat dinantikan setiap umat Islam, khususnya golongan peniaga kerana pada bulan mulia ini, aneka jualan makanan dan minuman pasti laris dijual di Pasar Ramadan.

Perkara itu diakui oleh pengusaha Damai Pelita Enterprise, Abdul Gani Bustami, 58, yang menerima tempahan kuih tepung pelita antara 40,000 hingga 50,000 sehari berbanding hari biasa.

“Pada hari biasa, kami memperoleh keuntungan hasil daripada perniagaan ini hanya cukup untuk menampung keperluan seharian keluarga seperti memberikan anak-anak duit belanja sekolah, membeli barang dapur dan sebagainya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berbeza dengan bulan Ramadan yang menjanjikan keuntungan berganda kerana kami menerima tempahan daripada peniaga bazar sekitar Lembah Klang, Putrajaya, restoran, kafe dan hotel,” katanya kepada Mega Rona.

Memulakan operasi perniagaan selepas sahur sehingga pukul 3 petang, ternyata usaha kerasnya dan pekerja berbaloi kerana tidak putus-putus menerima tempahan. Malah, seawal pukul 9 pagi, pelanggan sudah mula mengambil kuih yang ditempah.

“Perniagaan ini bermula di rumah pada 2005 secara kecil-kecilan sehinggalah saya mempunyai keberanian untuk menghantar kuih ini di kedai-kedai makan.

“Selepas menerima banyak respons positif dan sambutan menggalakkan daripada pelanggan, saya nekad menjadi pembekal dengan membuka kedai kira-kira empat tahun lalu dan menjadikannya perniagaan keluarga,” ujarnya.

Tambah Abdul Gani, sebiji kuih itu dijual pada harga 40 sen, manakala satu dulang yang mengandungi 100 biji kuih dijual pada harga RM40.

Sementara itu, isterinya, Eva Yanti Muarnis, 48, berkata, antara keunikan kuih tepung pelita di kedai itu berbanding pasaran luar adalah acuannya menggunakan daun pisang kampung.

“Proses membentuk daun pisang menjadi seolah-olah bentuk kapal dilakukan oleh jiran-jiran di sekitar rumah. Adunan kuih pula, saya bancuh secara manual di kilang bersama suami serta beberapa pekerja lain,” katanya sambil memberitahu kilangnya terletak di Taman Nirwana Ampang, Selangor.

Orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan kuih tradisional itu boleh hubungi talian 017-2344597 atau kunjungi laman sosial Facebook dan Instagram, Damai Tepung Pelita.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini