PUTRAJAYA 3 Mei 2019 – Status Australia selaku juara bertahan keseluruhan mula menimbulkan tanda tanya apabila terlepas satu demi satu emas pada kejohanan Piala Dunia FIT Touch 2019 di Taman Ekuestrian Putrajaya, di sini hari ini.
Selepas gagal mempertahankan emas kategori Lelaki 40 tahun (L40) yang dimenangi mereka di laman sendiri empat tahun lalu ekoran kekalahan 6-8 kepada New Zealand, duka Australia diteruskan dalam acara Lelaki 50 tahun (L50) apabila tumpas 5-9 di tangan lawan yang sama.
Petang tadi, skuad tewas lagi dalam acara Wanita 27 tahun (W27) selepas skuad The Kangaroos gagal menyaingi kepantasan New Zealand apabila tumpas 4-5.
Kekecewaan Australia begitupun sedikit terubat dalam saingan Lelaki 45 tahun (L45) apabila mengatasi New Zealand 5-4 dalam aksi final yang sedikit kontroversi apabila touch down New Zealand dibatalkan pengadil pada saat akhir gara-gara foul.
Ia adalah pingat emas kedua Australia dalam edisi kesembilan kejohanan terlebih dahulu mengalahkan New Zealand 8-0 menerusi kategori Wanita 35 tahun (W35) semalam.
New Zealand pula unggul memimpin carta kutipan pingat keseluruhan apabila meraih tiga pingat emas setakat ini.
Justeru, Australia tidak mempunyai pilihan selain memenangi kesemua baki aksi final pelbagai kategori yang akan berlangsung esok seandainya berhasrat memintas New Zealand, sekali gus mempertahankan status sebagai juara keseluruhan.
Esok, tumpuan pastinya terarah kepada acara ibu segala emas iaitu Terbuka Lelaki yang memasuki peringkat separuh akhir.
Jurulatih Australia, Tony Tradd bagaimanapun mahu mengetepikan sentimen di luar padang apabila tidak mahu anak-anak buahnya terlalu ghairah mempertahankan kejuaraan kerana dikhuatiri boleh memakan diri sendiri.
“Masih ada lawan yang perlu dihadapi di peringkat separuh akhir, jadi ia memang terlalu awal buat saya memperkatakan kemampuan pasukan kami bagi mempertahankan kejuaraan.
“Yang paling utama, kesemua pemain tidak boleh terleka walaupun sesaat termasuk membuat kesilapan mudah yang boleh dimanfaatkan pasukan lawan,” katanya.
Pada aksi separuh akhir, skuad kendalian Tradd akan melayan kunjungan Amerika Syarikat, sementara New Zealand pula berdepan cabaran Jepun. Aksi final pula akan berlangsung di venue yang sama pada sebelah petang. – UTUSAN ONLINE











