KUALA LUMPUR 12 Mei – TC Euro Cars (TCEC), pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia memperkenalkan edisi baharu Renault Captur yang bergaya dan dikuasakan oleh enjin pengecas turbo yang mematuhi piawaian Euro 6 untuk mengurangkan pelepasan karbon.
TCEC berkata, Captur dilengkapi enjin TCe 120 dengan pengecas turbo Renault yang menawarkan pecutan dan prestasi seperti enjin 1.8 liter dan dipadankan dengan transmisi Efficient Dual Clutch (EDC) enam kelajuan.
Katanya, enjin tersebut mampu menjana kuasa kilas puncak lebih tinggi iaitu 205Nm pada rpm serendah 2,000rpm dan pada masa sama mencatat penjimatan bahan api sehingga 5.9 liter per 100 kilometer.
“Fungsi start-stop pada enjin baharu itu membantu memati dan menghidupkan enjin pembakaran dalaman untuk mengurangkan tempoh enjin ‘berehat’ sekali gus merendahkan tahap pelepasan.
“Sistem hiburan bersaiz tujuh inci telah dinaik taraf dengan fungsi pandu arah serta ketersambungan internet secara dalam dan luar talian. Sistem itu mampu menyokong aplikasi kegemaran anda seperti JOOX dan Waze apabila disambungkan dengan hotspot internet,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, TCEC turut melancarkan model edisi khas Renault Captur+ yang dilengkapi beberapa penambahbaikan dari segi rekaan, bahagian dalaman lebih kemas dan aksesori pada masa sama menawarkan ciri yang inovatif dan pengalaman pemanduan luar biasa.
“Captur+ baharu tampil dengan kemasan dua tona pada bampar hadapan dan belakang, sekali gus menyerlahkan lagi warna badan dua tona yang tersendiri.
“Untuk meningkatkan lagi kemudahan, pintu belakang kuasa bebas tangan yang pertama dalam kelasnya juga telah ditambah pada Captur+.
“Dengan pintu belakang kuasa bebas tangan, bonet boleh dibuka dengan hanya menggerakkan kaki di bahagian bawah bampar belakang ketika tangan anda penuh dengan barang-barang. Ketinggian bukaan pintu boleh diprogram mengikut keperluan individu,” katanya.
Renault Captur+ ditawarkan pada harga RM113,300 manakala Renault Captur ditawarkan pada harga RM107,980.











