LONDON 3 Mei – Pemain tengah Barcelona, Ivan Rakitic menegaskan dia tidak nampak masa depannya bersama pasukan lain selain daripada gergasi Sepanyol itu.
Rakitic beraksi bersama Croatia di pentas final Piala Dunia buat pertama kali pada tahun lalu dikaitkan bakal menyertai Manchester United dan Inter Milan namun menafikannya.
“Saya tidak mahu pergi ke mana-mana. Saya berharap kelab, presiden, jurulatih dan penyokong melihat perkara ini seperti saya dan saya berharap dapat memberitahu mereka bahawa saya mahu kekal di sini untuk tiga tahun lagi.
“Apa-apa boleh jadi dalam bola sepak namun saya akan menghadapinya dengan tenang,” katanya.
Rakitic membantu Barcelona menewaskan Liverpool 3-0 dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara pada Rabu lalu dan aksi timbal balik akan diadakan di Anfield, 7 Mei ini. – AGENSI











