JELEBU – “Saya sedih dan terkilan sebab saya dan Firdaus (Allhahyarham Muhammad Firdaus Shahrul Azam) sepatutnya berbuka puasa bersama-sama di Kuala Selangor, Selangor petang ini”.
Itu luahan hati pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang dekat sini, Mohamad Nazhan Mohd. Nazhari, 17, yang turut terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas henti-henti di Jalan Kuala Kelawang – Seremban dekat Bukit Tangga di sini petang tadi.
Menurutnya, Allahyarham Muhammad Firdaus, 17, yang maut dalam kemalangan itu merupakan rakan karibnya dan semasa kejadian dia duduk di bahagian tengah, manakala Muhammad Firdaus duduk di bahagian depan bas berkenaan.
“Kami sama-sama berasal dari Kuala Selangor dan kami menaiki bas itu ke Seremban untuk pulang bercuti di kampung sempena cuti semester.
“Sebelum kejadian, Muhammad Firdaus mempelawa saya berbuka puasa bersama setibanya di kampung. Saya sedih dengan apa yang terjadi. Saya tidak mengalami kecederaan teruk,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Hospital Jelebu di sini hari ini.
Mohamad Nazhan mendakwa, kemalangan itu berlaku apabila bas henti-henti tersebut terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar beberapa batang pokok selepas memotong sebuah kenderaan lain di lokasi kejadian.
Dakwanya, bas itu bergerak terlalu laju dan dia mendengar ramai penumpang menjerit supaya bas itu berhenti sebelum rempuhan itu berlaku.
Katanya, semasa kemalangan berlaku dia memejamkan mata dan berpaut pada sebatang palang besi dalam bas tersebut sebelum mendapati bas itu sudah terbalik apabila membuka mata.
Seorang lagi mangsa, Mohamad Alimi Lutfi Azimi, 15, berkata, dia yang duduk di bahagian tengah bas menundukkan kepala semasa kemalangan berlaku dan terpaksa merangkak keluar dari bas itu melalui pintu belakang.
Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Klawang itu mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah bas henti-henti Mybas dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail.
Beliau dalam satu kenyataan media mengesahkan seorang penumpang bas iaitu pelajar Sekolah Vokasional Kuala Klawang maut di tempat kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Menurutnya, semasa kejadian terdapat seramai kira-kira 20 penumpang dalam bas itu.
Kosmo! difahamkan, bas itu dipenuhi pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Klawang semasa kemalangan tersebut berlaku. – K! ONLINE











