PSM sasar satu emas dalam Sukan SEA - Utusan Malaysia

PSM sasar satu emas dalam Sukan SEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Mei – Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menyasarkan untuk mempertahankan pingat emas acara regu lelaki dalam Sukan SEA 2019 Manila, yang akan berlangsung pada 30 November hingga 11 Disember ini.

DATUK SERI AHMAD ISMAIL
AHMAD ISMAIL 

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, sasaran tersebut adalah relevan memandangkan setiap negara hanya boleh menyertai dua daripada empat acara yang dipertandingkan dalam sukan sepak takraw pada temasya kali ini.

“Kami sasarkan satu emas. Kami akan cuba pertahankannya (pingat emas yang dimenangi pada edisi lalu). Acara yang kita akan berentap kali ini tidak banyak. Hanya boleh pilih dua sahaja (daripada empat acara).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apa pun, sekurang-kurangnya kami sasarkan satu emas dalam Sukan SEA kali ini kira baguslah,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini hari ini.

Hanya empat acara sepak takraw dipertandingkan dalam Sukan SEA kali ini iaitu melibatkan beregu lelaki berpasukan, regu lelaki, regu lelaki berpasukan dan gelung.

Malaysia bakal menyertai regu lelaki, manakala satu lagi acara masih menjadi rahsia PSM.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, PSM akan membuat persiapan rapi dan melengkapkan senarai panjang atlet yang akan ke Sukan SEA 2019 seperti yang diminta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam tempoh terdekat.

“Kami sudah menerima surat daripada MOM berhubung dengan senarai panjang ke Sukan SEA pada 1 hingga 30 Jun ini, kemudian senarai pendek akan diputuskan pada 2 September depan.

“Cuma MOM akan minta (senarai pendek) itu diserahkan lima hari lebih awal agar segala maklumat dapat dimasukkan ke dalam sistem dengan cepat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini