Proton sasar jualan Exora berwajah baharu cecah 10,000 unit - Utusan Malaysia

Proton sasar jualan Exora berwajah baharu cecah 10,000 unit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Proton Holdings Bhd. (Proton) menyasarkan jualan sebanyak 10,000 unit menjelang hujung tahun ini bagi Proton Exora 2019 berwajah baharu yang dilancarkan semalam.

Exora 2019 hadir dengan dua varian berbeza iaitu model Exe­cutive 1.6T CVT yang ditawarkan pada harga RM59,800 dan Premium 1.6T CVT berharga RM66,800.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, Exora 2019 menerima beberapa penambahbaikan termasuk perubahan rekaan dan komponen baharu serta dilengkapi ciri-ciri pintar yang pertama kali diperkenalkan dalam kelasnya yang menjadikan model ber­kenaan berbeza berbanding pesaing lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelasnya, antara pembaharuan yang ditampilkan ialah sistem infotainmen dengan aplikasi penstriman muzik dan navigasi dalam talian yang boleh diakses melalui skrin sentuh 17.78 sentimeter seperti pada model X70, Persona 2019 dan Iriz 2019.

“Sistem ini juga mempunyai kemampuan pencerminan bagi telefon pintar Android dan menyokong aplikasi pengecaman suara yang diaktifkan melalui kata kunci Hi Proton! yang mana kemudiannya pengguna boleh mengakses pelbagai pilihan menggunakan arahan suara.

“Selain itu, model ini merupakan satu-satunya model kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kelasnya yang dilengkapi enjin pengecas turbo 1.6 liter,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Proton Exora 2019 berwajah baharu di Pusat Kecemerlangan Proton di sini semalam.

Tambah Chunrong, Proton juga menawarkan kemudahan internet percuma dengan kapasiti satu gigabait sebulan selama lima tahun selain kos upah buruh percuma selama lima tahun dan dua tahun cukai jalan percuma untuk kenderaan persendirian bagi pembeli yang mendaftarkan Exora 2019 baharu mereka pada tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini