KUALA LUMPUR 3 Mei – MIDF Amanah Investment Bank Bhd. Research (MIDF Research) mengunjurkan prospek perdagangan yang lebih baik pada suku kedua 2019 berikutan peningkatan eksport pada Mac.
Menurut MIDF Research, beberapa perkara penting akan datang termasuk perjanjian perdagangan Amerika Syarikat dan China, pengukuhan prestasi ekonomi di dua ekonomi terbesar itu, serta pembelian minyak sawit yang dimasukkan dalam perjanjian Laluan Rel Pantai Timur, dijangka menyediakan sokongan kepada prestasi eksport Malaysia.
Katanya, berdasarkan data yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri hari ini, eksport Malaysia bernilai RM84.05 bilion pada Mac, susut sedikit iaitu sebanyak 0.5 peratus daripada RM84.47 bilion pada tahun sebelumnya.
“Bagaimanapun, penguncupan 0.5 peratus tahun ke tahun adalah pada kadar perlahan dengan penyusutan 5.3 peratus dicatatkan pada bulan sebelumnya, momentum kembali pulih selepas berakhirnya cuti Tahun Baharu Cina,” katanya dalam nota hari ini. – UTUSAN ONLINE











