KUALA LUMPUR 10 Mei – Datin Seri Rosmah Mansor mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan menerima suapan RM5 juta berhubung projek bersepadu sistem solar sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak, tiga tahun lalu.
Isteri bekas Perdana Menteri itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan pindaan itu dibacakan sekali lagi di hadapan Hakim Azura Alwi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar memberitahu mahkamah bahawa pertuduhan pindaan dibuat berikutan perubahan pada alamat tempat kejadian.
Mengikut pertuduhan, Rosmah, 68, didakwa menerima suatu suapan untuk iaitu wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal Mansor.
Wang berkenaan adalah sebagai upah kerana telah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Beliau didakwa melakukan perbuatan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Persint 10 Putrajaya pada 20 Disember 2016.
Pertuduhan yang dibacakan pada 10 April lalu menyatakan Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di kediamannya di No. 11, Jalan Laggak Duta, Taman Duta, di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi. – UTUSAN ONLINE.











