KOTA TINGGI – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan selepas bertindak mengugut ibu kandungnya dengan meminta wang dalam kejadian di Felda Semenchu di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, suspek berusia 29 tahun yang bertugas di Balai Polis Cherang Ruku, Pasir Putih, Kelantan itu ditahan pada pukul 2.30 pagi selepas laporan polis dibuat abangnya pada hari sama.
“Menurut keterangan laporan polis yang dibuat, suspek yang sedang bercuti bertugas telah mengugut ibunya dengan menggunakan sebilah dan tukul besi.
“Niat suspek yang mengugut adalah dipercayai untuk mendapatkan wang daripada ibunya,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ahsmon berkata, bimbang dengan keselamatan keluarga, abang suspek telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Sengat di sini.
“Suspek berjaya ditahan di rumahnya dan senjata yang digunakan suspek dirampas. Hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.
Beliau menambah, suspek yang merupakan duda anak dua itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan dibawah Sekyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. – K! ONLINE











