KUALA NERANG – Polis berjaya membongkar taktik baharu penyeludupan mercun dan bunga api dari Thailand melalui laluan air di Tasik Ah Ning, Padang Sanai dekat sini selepas menahan seorang lelaki semalam.
Suspek berusia 36 tahun itu ditahan ketika mahu mengambil bekalan mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM70,000 di tebing tasik tersebut kira-kira pukul 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, kegiatan suspek disedari sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap dan Balai Polis Padang Sanai yang membuat rondaan dan risikan di kawasan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand itu.
“Suspek ditemui berada di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi berhampiran tebing tasik yang menjadi tempat pendaratan ikan nelayan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemui 20 kotak mercun dan bunga api antaranya jenis Happy Boom, Magical Shots dan Shots Cake.
“Suspek kemudian menunjukkan sejumlah lagi kotak berisi mercun dan bunga api di atas tanah yang terletak kira-kira tiga meter di belakang kenderaannya,” ujarnya.
Menurutnya, hasil siasatan awal, suspek mengaku kesemua mercun itu dihantar melalui laluan air di Tasik Ah Ning dari Sebayoi, Thailand.
“Modus operandi menggunakan laluan tasik ini adalah taktik terbaharu penyeludup bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Penyeludup juga dipercayai membina laluan darat sehingga ke tebing tasik untuk kegiatan penyeludupan tersebut,” jelasnya.
Tambahnya, suspek yang merupakan penduduk tempatan dari Kampung Padang Nyior di sini disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958. – K! ONLINE











