KUALA LUMPUR 3 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berharap akan mendapat pulangan wang rampasan sebanyak AS$7 bilion (RM29 bilion) daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, harapan itu hasil daripada perkembangan positif pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) yang bersedia memulangkan AS$200 juta (RM828 juta) kepada Malaysia.
“Saya dengar mengenai perkara ini (pemulangan dana 1MDB) dan saya rasa mereka (AS) tahu itu wang milik Malaysia, Bukan saja Amerika Syarikat…Singapura juga akan pulangkan duit kita.
“Kita berharap dapat balik pulangan AS$7 bilion (daripada 1MDB),” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Al-Bukhary di sini hari ini.
Yang turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat Majlis Presiden PH, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden PH, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Kerajaan AS hari ini mendedahkan jumlah wang RM828 juta itu akan dipulangkan minggu depan dan proses persediaan ke arah itu sedang dilakukan pihaknya.
Jumlah keseluruhan termasuk kira-kira AS$140 juta (RM579 juta) daripada penjualan saham Hotel Park Lane di New York dan kira-kira AS$60 juta (RM248 juta) lagi daripada penyelesaian yang dibayar oleh penerbit filem ‘Wolf of the Wall Street’.
Sebelum ini, PH meminta bantuan dari Switzerland dan Singapura untuk mengesan dan memulangkan AS$4.5 bilion (RM18.6 bilion) yang diselewengkan daripada 1MDB.
Skandal 1MDB yang ditubuhkan untuk membiayai projek pembangunan di Malaysia, menjejaskan rakyat dan institusi daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Goldman Sachs Group Inc.
Malaysia memperoleh AS$126 juta (RM521 juta) bulan lalu hasil penjualan kapal persiaran mewah yang pernah dimiliki ahli perniagaan buruan, Jho Low yang digambarkan sebagai dalang skandal itu.
Ia adalah jumlah wang terbesar diperoleh semula Malaysia berkaitan 1MDB, selepas ia menerima AS$11.1 juta (RM46 juta) daripada Singapura tahun lalu. – UTUSAN ONLINE











