KOTA BHARU 20 Mei – Kerajaan disaran mengkaji pelaksanaan perkhidmatan aplikasi penapisan laman web dan iklan ‘pop-up’ secara percuma di seluruh negara bagi menyekat akses terhadap laman web tidak bermoral seperti pornografi serta permainan online yang melalaikan.
Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) negeri, Profesor Madya Dr. Zaharah Sulaiman berkata, rata-rata ibu bapa didapati tidak memanfaatkan sepenuhnya aplikasi seumpama itu bagi menghalang anak-anak mengakses laman web tertentu yang bersifat negatif.
Antara faktornya kata beliau, kebanyakan perkhidmatan aplikasi penapisan laman web yang ditawarkan pelbagai pihak ketika ini adalah secara berbayar.
“Ibu bapa perlu sentiasa memantau aktiviti anak-anak ketika di dalam dan di luar rumah, peka dengan sebarang perubahan yang berlaku dalam keluarga serta mewujudkan sistem berkesan bagi mengawal penggunaan internet anak-anak daripada terdedah dengan pornografi atau permainan melalaikan.
“Kerajaan terutama Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu mengkaji pelaksanaan aplikasi penapisan laman web dan pop-up secara percuma ke seluruh negara,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Seminar Ibu Bapa Cakna Keselamatan Siber di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini kelmarin.
Zaharah dalam pada itu berkata, antara saranan lain berkaitan jenayah dan isu sosial siber ialah meminta Kementerian Pendidikan mengkaji keperluan silibus pendidikan seksual di peringkat sekolah rendah atau menengah secepat mungkin.
“Langkah itu penting bagi melahirkan generasi muda yang berilmu sekali gus mengelak mereka menjadi mangsa kes seksual pada masa depan,” katanya.
“Kerajaan dan NGO pula perlu menggiatkan kerjasama dalam memberi pendidikan kepada masyarakat tentang bahaya dunia siber termasuk kewujudan ‘scammer’ dan aktiviti penipuan menerusi internet,” katanya.
Sementara itu, pengarah program, Dr Aida Maziha Zainudin berkata, seminar anjuran Ikram Kelantan dengan kerjasama USM serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu menerima sambutan di luar dugaan dengan kehadiran hampir 200 peserta.
“Seminar ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya dan ancaman terhadap keluarga dalam dunia siber seperti kecurian identiti, scamming atau penipuan, ketagihan permainan online serta bahan pornografi,” katanya.
Katanya, seminar itu membabitkan tiga ahli panel yang berkongsi pelbagai maklumat penting mengikut kepakaran masing-masing iaitu Suprintendan Ahmad Azizul Mohamed dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan, Wan Nurul Ain Wan Mohd. Razali (SKMM) serta Dr. Norzila Zakaria (USM).- UTUSAN ONLINE











