Penyanyi Kassim Selamat meninggal dunia - Utusan Malaysia

Penyanyi Kassim Selamat meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA 26 Mei – Penyanyi era 60-an yang popular dengan lagu La Obe dan Nga lompak AGo Go, Kassim Rahmat meninggal dunia akibat sakit tua hari ini.

Kassim, 84, atau lebih dikenali sebagai Kassim Selamat menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.30 petang di rumahnya di Yishun.

Penyanyi utama Kumpulan The Swallows itu meninggalkan seorang isteri, Radiah Hadar dan empat orang anak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anak perempuannya Kasmawati Kassim berkata, bapanya menghidap sakit dementia sejak lapan tahun yang lalu.

“Ibu yang setia menjaga bapa di rumah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Kasmawati, jenazah bapanya akan dikebumikan pada esok pagi di Pusara Aman, Lim Chu Kang di sini.

Dilaporkan Kassim menggantikan Allahyarham Datuk Ahmad Daud sebagai penyanyi utama kugiran tersebut yang pada awalnya dikenali dengan lagu Si Manis 17.

Kumpulan The Swallows yang pernah terbabit dalam persembahan muzikal Suzana@60-an di Istana Budaya pada tahun 2006, turut pernah mengiringi Allahyarham Biduanita Datin Rafeah Buang.

Kumpulan itu mempunyai keunikannya tersendiri kerana mereka turut mempersembahkan lagu dalam bahasa Bawean.

Selain lagu La Obe dan Nga lompak AGo Go, lagu-lagu nyanyian kugiran tersebut termasuklah Angkok Angkok Bilis, La Karebna, Leh Paju Molle dan La Ngomber. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini