PENDANG 20 Mei – Kegiatan seorang lelaki yang disyaki menyamun secara solo sekurang-kurangnya tiga buah kedai serbaneka 24 jam di Kulim, dekat sini tidak berpanjangan apabila dia dicekup polis kira-kira pukul 1 petang, Khamis lalu.
Suspek berusia 29 tahun yang berasal dari Kuantan, Pahang itu menggunakan pisau untuk menakut-nakutkan mangsa selain hanya melarikan wang tunai dalam ketiga-tiga kejadian terbabit.
Dia yang tidak bekerja ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim yang membuat rondaan di kawasan kedai serbaneka di daerah itu.
Ketua Polis negeri, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, suspek memasuki kedai berkenaan dengan memakai topi keledar dan berpura-pura sebagai pelanggan sebelum mengacukan pisau ke arah pekerja ketika tiada pelanggan lain.
“Suspek kemudian mengugut pekerja supaya menyerahkan wang tunai sebelum dia melarikan diri. Kejadian samun ini biasanya dilakukan pada waktu petang,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Pendang di sini hari ini.
Tambah Zainuddin, siasatan mendapati suspek merupakan penagih tegar dadah jenis syabu serta mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah, memindah barang curi dan samun yang berlaku di Pahang.
“Suspek kemudian dipercayai meneruskan kegiatan jenayahnya itu di Kulim selepas berkahwin dengan penduduk di situ kira-kira empat bulan lalu untuk menyara kehidupannya termasuk isteri yang sedang mengandung tiga bulan,” ujarnya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Zainuddin berkata, polis berjaya menemukan semula sebanyak 24 buah rangka pelbagai jenis motosikal yang dilaporkan hilang sejak beberapa tahun lalu dengan tertangkapnya seorang lelaki di sebuah rumah, di daerah ini, pada 13 Mei lalu.
Suspek berusia 20-an yang menganggotai Geng Pit Sym itu disyaki aktif menjalankan kegiatan curi motosikal sejak 2011 selain mempunyai dua rekod lampau juga berkaitan kes berkenaan.
Zainuddin berkata, suspek menggunakan modus operandi ‘tradisional’ iaitu mengubah suai kunci allen bagi merosakkan kunci utama motosikal dan menyasarkan motosikal jenis SYM dan Honda yang dipesan pelanggan.
“Setelah meleraikan komponen-komponen motosikal terutamanya bahagian enjin untuk dijual, suspek akan membuang rangka kenderaan itu ke dalam sungai di Mukim Bukit Raya, di sini bagi mengelak dikesan pihak polis.
“Berdasarkan siasatan, dia tidak melakukan kegiatan ini berseorangan dan rentetan itu kita sedang memburu rakan sejenayahnya yang berusia 19 tahun kerana disyaki turut terlibat dalam kes ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











