BUKIT MERTAJAM 13 Mei – Seorang pengurus kilang kerugian lebih RM5,000 selepas rumahnya di Taman Budiman, Alma, di sini dipecah masuk malam tadi.
Dalam kejadian antara pukul 8.30 malam hingga 11 malam itu, mangsa hanya menyedari rumahnya dipecah masuk selepas pulang dari makan malam bersama keluarga.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ketika tiba di rumah, mangsa mendapati keadaan di dalam bilik utama rumahnya berselerak.
“Mangsa mendapati tingkap dan grill ruang makan rumahnya terdapat dikopak dan beberapa miliknya seperti kad pengenalan, lesen memandu dan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM5,000 telah hilang,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek memecah masuk rumah itu melalui tingkap belakang dan tiada saksi yang melihat kejadian itu.
“Kesemua barang yang hilang adalah milik mangsa dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa.
“Polis sedang berusaha mengesan suspek kes berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











