KUALA LUMPUR 6 Mei – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2019 kekal pada tahap sederhana seperti yang diunjurkan, walaupun pelaksanaan pengasasan semula data berdasarkan 2015 berbanding tahun asas sebelum ini iaitu 2010.
Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penentuan tahap ekonomi kebiasaannya berdasarkan petunjuk komponen tertentu dan bukannya tahun asas.
“Apabila kita buat unjuran, ia tidak menggunakan tahun asas yg spesifik, tetapi hanya berdasarkan komponen-komponen, seperti bekalan wang, nilai import dan export dan bilangan pendaftaran syarikat baharu, dalam menentukan tahap kedudukan ekonomi kita,” katanya di sini hari ini.
Bercakap kepada pemberita selepas pembentangan KDNK Malaysia Tahun Asas 2015, beliau berkata, pertumbuhan ekonomi pada 2015 dan 2018 masih kekal walaupun perlaksanaan pengasasan semula tahun asas dilakukan, kecuali 2016 dan 2017 yang mengalami sedikit perubahan.
Terdahulu, Bank Negara Malaysia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara akan berada antara 4.3 peratus dan 4.8 peratus pada 2019.
Sementara itu, Mohd. Uzir berkata, unjuran KDNK bagi suku pertama 2019, yang akan diumumkan pada 16 Mei oleh BNM, juga dijangka mencatatkan pertumbuhan yang perlahan.
“Jabatan Perangkaan dan BNM ketika ini sedang menyemak sektor-sektor dan penunjuk-penunjuk yang diperoleh dan antara penunjuk berkaitan, data eksport dan import merekodkan sedikit penurunan, manakala petunjuk lain masih dalam proses.
“Kita akan lihat sektor berkaitan perlombongan, pembuatan dan perkhidmatan berikutan Indeks Pengeluaran Perusahaan (IPP) yang dikeluarkan pada Januari dan Febuari 2019 menunjukkan peningkatan yang sederhana berbanding pada 2018,” katanya.
Beberapa penganalisis juga melaporkan ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan yang kurang memberangsangkan pada suku pertama, disebabkan ketidaktentuan mengenai rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Mohd. Uzir berkata, KDNK pada suku kedua 2019 akan mencatatkan pemulihan pertumbuhan berikutan pengukuhan dari segi pelaburan yang masuk ke dalam negara.
“Saya yakin, kedudukan pertumbuhan KDNK Malaysia akan berlanjutan dalam keadaan yang diharapkan, dengan kedudukan setakat ini menunjukkan momentum ekonomi kita masih lagi berkembang,” katanya. – BERNAMA











