Penganggur dipenjara 41 bulan kes tikam imam - Utusan Malaysia

Penganggur dipenjara 41 bulan kes tikam imam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT 16 Mei – Selepas empat hari bertindak menikam seorang imam yang sedang membaca al-Quran di dalam masjid Isnin lalu, hari ini Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara 41 bulan ke atas penganggur atas perbuatannya itu.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Khairil Nawi, 23, mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Khairil yang berasal dari Kampung Bakap Jabi, Jerteh di sini didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohd. Amin Md. Nor, 38, apabila menikam mangsa dengan sebilah pisau.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam Masjid Kampung Apal, Jerteh di sini pada pukul 6.30 petang.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada mana-mana hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK) Mohd. Fakhrul Fikri Mokhtar merayu hukuman Muhammad Khairil diringankan kerana tertuduh menyesal atas perbuatannya.

Katanya, Muhammad Khairil mendakwa melakukan perbuatan itu di luar sedar kerana terdengar bisikan halus.

Bagaimanapun rayuan itu dibantah Pegawai Pendakwa, Inspektor Norkhaizan Ramli yang mengatakan perbuatan tertuduh adalah serius dan boleh menyebabkan kematian apatah lagi ia berlaku di kawasan masjid yang merupakan rumah ibadat.

Isnin lalu, akhbar melaporkan Mohd. Amin yang merupakan imam di sebuah surau di Rantau Petronas, Kerteh di Kemaman ditikam tujuh kali di bahagian dada kiri ketika sedang mengalunkan bacaan al-Quran sesudah solat Subuh di Masjid Kampung Apal. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini