KUANTAN 19 Mei – Seorang peneroka di Felda Lepar Hilir 3 di sini maut setelah kereta jenis Proton Saga dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso di kilometer 60 Jalan Temerloh-Bandar Jengka/Jerantut dekat Maran di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Mohd. Nor Salim, 57, meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang hadapan Proton Saga berkenaan, Aida Alias, 51, cedera di bahagian bahu kanan.
Dua penumpang belakang kereta itu yang merupakan anak Mohd. Nor iaitu Nor Asiah, 22, cedera di kepala dan Nur Hafsah, 28, patah tangan kiri manakala seorang kanak-kanak, Husna Rafiqah Syababullah, 2, mengalami pendarahan di kepala serta Izzatul Insyirah Syababullah, tidak cedera.
Pemandu lori Mitsubishi Fuso, Mohd. Faizal Mohd. Sabri, 22, yang juga berasal dari Felda Lepar Hilir 3 bersama penumpang kenderaan itu, Mohd. Sofi Abdul Rahman@Yusoff, 30, tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa pemandu Proton Saga bersama keluarga dalam perjalanan dari arah Bandar Jengka ke Jerantut.
“Apabila sampai di tempat kejadian yang sedikit berselekoh, lori jenis Mitsubishi Fuso secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta Proton Saga itu.
“Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Saga maut di tempat kejadian. Kesemua mangsa yang mendapat cedera dibawa ke Hospital Jengka untuk rawatan,” katanya di sini hari ini.
Norzamri berkata, siasatan diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE











