KUALA TERENGGANU 11 Mei – Kira-kira 50 jemaah Masjid Haji Muhammad di Kampung Mengabang Tengah di sini terpaksa menunaikan solat di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Kautsar berikutan struktur binaan kubah di masjid itu yang runtuh, Selasa lalu.
Seorang penduduk, Mat Zin Awang Besar, 60, walaupun keadaan itu menyukarkan jemaah terutama kalangan warga emas dan wanita yang mempunyai anak kecil, namun mereka tiada pilihan melainkan menumpang solat di prasekolah yang terletak bersebelahan masjid.
Katanya, sekiranya terdapat ruangan sementara disediakan di situ tentunya akan memudahkan penduduk kampung menunaikan solat seperti biasa.
“Kalau masa sekolah kita tak boleh nak tumpang, cuma waktu solat Subuh, Maghrib dan Isyak sahaja kita boleh bersolat di Pasti ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Mohd. Ariffin Awang, 53, berharap pihak berwajib dapat mempertimbangkan untuk menyediakan kemudahan khemah sementara buat para jemaah memandangkan urusan solat ketika ini yang menumpang di Pasti Al-Kautsar.
Kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, bagaimanapun tidak membabitkan kemalangan jiwa.
Runtuhan pada struktur yang dalam pembinaan itu dikatakan berlaku ketika hujan lebat hingga menjejaskan hampir keseluruhan bahagian tengah masjid tersebut.
Difahamkan, masjid yang berusia lebih 100 tahun dan boleh menampung sehingga 1,000 jemaah itu kini dalam proses dinaik taraf namun, masih digunakan seperti biasa termasuk untuk solat sunat Tarawih.
Sebelum kejadian tersebut dikatakan hampir 200 jemaah menunaikan solat sunat Tarawih di masjid itu. – UTUSAN ONLINE











