PUTRAJAYA – Dana daripada pemulangan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan digunakan untuk membayar hutang syarikat pelaburan itu sebanyak RM51 bilion.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah itu termasuk faedah dan pinjaman kementeriannya yang digunakan untuk membayar hutang 1MDB setakat ini masing-masing sebanyak RM10.8 bilion dan RM 8.6 bilion.
“Dana ini juga akan digunakan untuk membayar kos guaman dan perbicaraan daripada usaha memulangkan dan melupuskan aset-aset 1MDB di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Guan Eng berkata, bayaran dana daripada aset-aset 1MDB dapat dikembalikan ke dalam negara menerusi Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS).
“Keputusan DOJ ini merupakan kedudukan terkini setelah mahkamah Singapura mengarahkan dana berkaitan 1MDB sebanyak RM150 juta (SGD$50 juta) dipulangkan ke Malaysia.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM45 juta (SGD$15 juta) telah diterima dan bakinya berjumlah RM105 juta (SGD$35 juta) akan dipulangkan dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Guan Eng berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Jabatan Peguam Negara berhubung pembayaran dana yang dikaitkan 1MDB dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.32 bilion (AS$322 juta).
Katanya, jumlah itu merupakan sebahagian daripada RM18.6 bilion (AS$4.5 bilion) yang didapati diseleweng daripada 1MDB oleh DOJ AS.
“Pemulangan aset-aset itu merupakan langkah awal ke arah penyelesaian isu 1MDB dan pemulihan reputasi Malaysia supaya tidak lagi dikenali sebagai negara kleptokrasi.
“Pemulangan aset-aset ini menerusi proses undang-undang juga membuktikan salah laku yang telah berlaku berkaitan dengan 1MDB.
“Kerajaan akan meneruskan usaha untuk mendapatkan kembali aset-aset 1MDB lain selain memperkukuh kawalan dalaman dan inisiatif antirasuah supaya perkara begini tidak berlaku lagi pada masa depan,” katanya.
Akhbar Kosmo! semalam melaporkan kerajaan telah menerima bayaran pertama dana yang dikaitkan dengan 1MDB berjumlah RM236 juta (AS$57 juta) dari AS.
Peguam Negara, Tommy Thomas dilaporkan berkata, pembayaran pendahuluan itu hasil daripada penyitaan syarikat pembikinan filem Red Granite Pictures yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anak tirinya, Riza Aziz.
Katanya, DOJ kini dalam proses menghantar pulang sejumlah RM576 juta (AS$139 juta) wang yang diperoleh hasil daripada jualan kepentingan milik ahli perniagaan Jho Low dalam Hotel Park Lane di Manhattan. – K! ONLINE











