BURIRAM 31 Mei – Barisan pelumba Malaysia bakal menguasai perlumbaan kelas Underbone 150 apabila 10 pelumba mengisi slot untuk saingan Superpole pada Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 di Litar Antarabangsa Chang, esok.
Pada sesi kelayakan hari ini pelumba pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia team, Md Akid Aziz melakar nama sebagai pelumba terpantas dengan catatan masa satu minit, 59.94 saat, sekali gus layak ke pusingan Superpole.
Walaupun Akid tidak mempamer rentak cemerlang pada dua sesi latihan bebas pada sebelah pagi, namun dia tampil gagah untuk memperlihatkan kemampuannya pada sesi ketiga iaitu kelayakan ke Superpole dengan catatan masa yang sangat memberangsangkan.
Dalam sesi latihan pertama dia sekadar mencatat masa kelapan terpantas, namun telah membuktikan peningkatan pada sesi kedua apabila melakukaan catatan masa kelima terpantas iaitu 2:01.113s.
Bagi Akid, bukan catatan masa yang dikejarnya pada dua sesi latihan awal itu, sebaliknya ia dipergunakan untuk menguji kemampuan jentera.
Menurutnya, mereka telah mencuba beberapa bentuk pelarasan dan ternyata segala input yang disalurkannya kepada krew pasukan telah membawa perubahan yang baik.
“Walaupun setting tidak mencapai tahap seratus peratus tetapi perubahan pada jentera agak ketara dan saya telah mencuba sebaik mungkin pada sesi kelayakan tadi.
“Saya berharap keadaan jentera terus berada pada tahap terbaik pada sesi Superpole esok dalam misi untuk merealisasikan impian menjejak podium kemenangan,” jelas Akid.
Akid ketika ini berada di kedudukan kelapan dalam carta keseluruhan pemandu dengan mengumpul 18 mata dan aksi di Buriram ini dilihat sebagai medan terbaik buatnya untuk mengubah kedudukan tersebut.
Begitupun, dia tetap yakin bahawa apa juga kemungkinan boleh berlaku pada saiangan sebenar nanti.
Selain Akid, pelumba Yuzy Honda Racing, Md Amirul Ariff Musa turut menempatkan diri dalam Superpole apabila mencatat masa kedua terpantas pada sesi kelayakan hari ini.
Pelumba Malaysia lain yang turut menempah slot adalah Md Affendi Rosli, Md Izzat Zaidi, Md Hafiza Rofa, Md Faiz Zekri Sabri, Ahmad Fazli Sham, Rozaiman Md SaidMd Fitri Ashraff Razali dan Md Haziq Md Firues.
Pencabar dan pendahulu keseluruhan kelas Underbone 150, McKinley Kyle Paz dari Filipina sekadar menduduki tempat ke-13 pada sesi kelayakan hari ini dengan catatan masa 2:02.089s. – UTUSAN ONLINE











