KUALA LUMPUR 13 Mei – Setahun selepas pilihan raya paling bersejarah di Malaysia, perasaan gembira dan teruja terhadap kerajaan baharu semakin pudar, begitu juga pelabur yang turut hilang sabar.
Menurut laporan Bloomberg, dana global tidak berminat dengan Malaysia seterusnya memihak kepada pasaran lain. Saham mencatat pengaliran keluar hampir dalam kesemua 12 bulan yang lalu.
Harapan reformasi daripada pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat samar susulan usaha kerajaan mengurangkan hutang awam yang menjejaskan perbelanjaan dan pertumbuhan.
Pada 7 Mei lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas sebagai usaha menyokong ekonomi kerana peningkatan risiko global.
Pengurus Ekuiti GAM Holding AG, Tim Love yang mengurus AS$1 bilion (RM4.16 bilion) ekuiti pasaran baru muncul di London berkata: “Meskipun tarikan terhadap penilaian ekonomi Malaysia semakin nampak, saya tidak fikir prospek tinjauan adalah jelas.’’
Beliau berpendapat tidak perlu tergesa-gesa ke Malaysia pada masa ini. Alasannya ialah indeks saham penanda aras Malaysia telah jatuh lebih lima peratus tahun ini dan merupakan paling teruk dalam pasaran ekuiti utama di dunia.
Keuntungan korporat menerima impak selepas kerajaan membatalkan beberapa projek infrastruktur besar untuk mengekang defisit fiskal yang melonjak ke paras tertinggi dalam lima tahun pada 2018.
Aliran keluar meningkat
Bon ringgit mengalami tekanan bulan lepas, apabila FTSE Russell merancang untuk mengecualikan Malaysia daripada Indeks Bon Kerajaan Dunia berikutan kebimbangan mengenai akses pasaran.
Pelabur menunggu keputusan FTSE Russell yang akan mengumumkan kajiannya pada September.
Ringgit telah jatuh lebih dua peratus sejak mencapai paras tertinggi dalam lapan bulan pada Mac, berikutan aliran keluar ekuiti dan dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh.
Peluang beli
Meskipun begitu, kelemahan di Malaysia ketika ini memperlihatkan peluang membeli ekuiti buat sesetengah negara.
Menurut SPI Asset Management, kebimbangan aliran keluar berlebihan, ia mungkin akan diimbangi oleh kehadiran sekumpulan besar pelabur tempatan dan dasar monetari yang lebih mudah.
“Pasaran mata wang akan perlu meletakkan harga dalam aliran keluar bon yang boleh mencetuskan beberapa penjualan ekuiti jangka pendek.
“Tetapi bagi pasaran ekuiti dan bon, penurunan kadar akan menyokong kedua-duanya,” katanya. – AGENSI
Indeks petunjuk utama
FTSE Bursa Malaysia KLCI turun
9.18
mata ditutup kepada
1,601.09
Ringgit turun kepada
4.1640/1680
berbanding dolar AS
Dana asing menjual ekuiti tempatan bersih sebanyak
RM450.9 juta
pada minggu lalu
Pasaran utama berakhir
negatif
minggu lalu berikutan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara AS dan China











