JOHOR BAHRU 16 Mei – Cubaan 27 lelaki dan enam wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia memasuki negara ini melalui jalan tidak diwartakan dekat Kota Tinggi tidak kesampaian apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan berkata, kesemua mereka yang berusia antara 18 hingga 46 tahun itu ditahan semasa mereka diturunkan daripada sebuah bot di kawasan pantai berhampiran Hotel Tiara Desaru kira-kira pada 8 malam.
Menurutnya, salah seorang daripada dua suspek yang dipercayai tekong darat warga Indonesia berjaya ditahan semasa cuba melarikan diri ke kawasan belukar.
“Menyedari kehadiran Maritim Malaysia, bot dipercayai dilengkapi empat enjin sangkut yang dinaiki PATI itu berpatah balik dan meninggalkan kesemua suspek yang berada di dalam air, pihak kami turut bertindak mengejar bot itu, namun mereka berjaya meloloskan diri ke sempadan perairan.
“Maritim Malaysia juga bimbang terdapat PATI wanita dan kanak-kanak dalam bot tersebut yang belum diturunkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan awal pihaknya mendapati, kesemua mereka dikendalikan oleh Geng Fuad Lombok.
Beliau berkata, kesemua PATI yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 / 63 serta Akta Pemerdagagan Manusia dan Penyelupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu cuba keluar atau masuk Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan serta menjalankan penyeludupan migran. – UTUSAN ONLINE











