SELESAI sudah tahun pertama Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah. Pada awal Julai lalu rakyat menunggu capaian PH bagi tempoh 100 hari pemerintahannya. Laungan Malaysia Baharu kedengaran di sana sini; diikuti pula dengan Dari rakyat, demi rakyat, untuk rakyat. Buku manifesto Pakatan Harapan yang dilancarkan Tun Dr. Mahathir Mohamad 8 Mac 2018 terpampang ungkapan Membina Negara Memenuhi Harapan. Di majlis Makan Malam Amal Disember 2018 dijeritkan pula Memenuhi Harapan, Mengisi Kemenangan.
Sebanyak mana laungan semangat PH, begitulah juga harapan rakyat yang melalui suara majoriti memilih dan meletakkan PH sebagai kerajaan mereka. PH menggantikan Barisan Nasional (BN) yang dikalahkan PH selepas 61 tahun memerintah. Pada malam 6 Mei 2018 di Padang Bola Sepak Taman Keramat, Ulu Kelang dipaparkan ungkapan Tsunami Rakyat.
Dalam perjuangan politik memang mudah tersua ungkapan-ungkapan hebat laksana menggegarkan jiwa dan lantas meraih sokongan. Dalam keghairahan untuk menang pilihan raya, janji perjuangan menjadi asas dan landasan kepada sesuatu parti politik. Wajar dilihat 11 janji utama PH seperti yang diumum dan yang diterangkan di dalam buku manifesto mereka:
- Hapuskan GST.
- Wujudkan sistem bersasar bagi harga minyak petrol.
- Hapuskan hutang tak wajar peneroka Felda.
- Menyamaratakan gaji minimum pekerja.
- Tangguhkan bayaran PTPTN bagi yang berpendapatan bawah RM4000 sebulan.
- Siasat skandal rasuah untuk dihadapkan ke muka pengadilan.
- Kembalikan status Sabah dan Sarawak.
- Kendalikan skim peduli kesihatan.
- Wujudkan skim caruman pendapatan suami untuk isteri yang tiada pekerjaan tetap.
- Mengkaji semula perjanjian tol untuk tujuan jalan raya bebas tol.
- Kaji semula projek-projek mega.
- Penyelarasan harga barangan dan keperluan asas.
Sementara rakyat masih menunggu realisasi janji-janji pilihan raya 2018, sebahagian intisari manifesto itu sudahpun ditunaikan mengikut larasannya sekalipun ia tidak menimbulkan manfaat yang jelas kepada rakyat. Didapati skim penerangan PH berada di tahap rendah. RTM, Bernama, Jabatan Penerangan, antara lain, semacam entiti asing kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
TEORI PELIK, ISU BAR
Pemerintahan PH sedang menerima kritikan bersasar berkaitan para menterinya yang dilihat masih ‘bertatih’ akibat terlalu kekosongan pengalaman mentadbir. Olahan dasar seperti kasut hitam bagi murid dan kereta terbang memeranjatkan rakyat sedangkan isu yang lebih penting ialah kos sara hidup yang mencanak naik.
Menggantikan sistem cukai GST dengan SST menimbulkan kekeliruan skala tinggi. Rakyat masih merasai kos barangan harian seperti makanan dan keperluan harian masih bersifat menghimpit kehidupan. Arenanya ialah di kedai runcit, pasar runcit dan pasar borong. Kerajaan tampak menemui jalan buntu dalam aspek ini.
Rakyat mendapati sistem ‘subsidi petrol bersasar’ tidak membantu kerana jarak harga dulu dan kini tidak dirasai. Jarak harga diesel dan petrol dikatakan tidak realistik. Rakyat tidak pandai berfalsafah dengan teori-teori pelik. Mereka mahu ‘duit di tangan dapat beli keperluan hidup’. Mereka kecewa dengan skim PTPTN yang lain diumum, lain dilaksana. Dengan tol juga pengguna tidak terkesan dengan kelonggaran bagi tempoh jam 11 malam hingga 5 pagi. Kepentingan GLC/SBK dalam syarikat-syarikat tol tidak dicerakini hakikatnya.
Dalam kalangan orang Melayu yang berpaut kepada slogan ‘demi bangsa dan agama’ pula melayani perasaan terlalu banyak konsesi diberikan kepada puak-puak baharu dalam PH sehingga segolongan besar mempercayai hak mereka sudah lucuthak. Walaupun anggapan ini tidak menyeluruh benarnya, isu bangsa, agama dan Raja (BAR) sudah banyak diputarbelitkan sehingga PH kalah di tiga pilihan raya kecil – Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau. Isu BAR mesti dilunakkan, tak boleh pakai kaedah 1993/1994 yang melibatkan jenayah dan raja.
Usaha PH membanteras rasuah dan salahguna kuasa mendapat pujian. Peranan Jho Low menyalahguna RM42 bilion bersekali kes-kes 1MDB, SRC dan lain-lain di mahkamah kini menampakkan kesungguhan dasar “sifar rasuah”. PH boleh diberi tahniah atas prinsip keluhuran undang-undang atau rule of law sekalipun lantikan Tommy Thomas dan Ketua Hakim Negara sebelum ini kurang disenangi oleh beberapa pihak.
BOSSKU, TIDAK CEMAS
Konsep dan nilai asas keluhuran undang-undang masih kurang difahami dalam kalangan masyarakat. Di ketiga-tiga pilihan raya kecil tersebut dakwaan rasuah semacam perkara biasa saja. Malah bila personaliti seperti bossku dicipta dan dipopularkan, masih berduyun-duyun manusia menyambut individu tersebut, seolah-olah rasuah itu tak jadi fasal; semacam tiada apa-apa yang harus dicemaskan. Ini kecenderungan bahaya buat negara.
Sementara itu isu rasuah dalam kalangan pemimpin BN dan UMNO misalnya telah mula menampakkan kerosakan sistem nilai di dalam gerakan politik masing-masing. Skandal 1MDB, SRC, Jho Low dan kes-kes berprofil tinggi lain telah diapungkan oleh PH sebagai ‘cermin bangkai’ untuk rakyat Malaysia. Kerajaan PH didapati berjaya mengendalikan pemulihan ekonomi secara perlahan-lahan walaupun kerja tersebut rumit dan makan masa. Ini khusus kerana dari RM361 bilion hanya RM57 bilion bagi pembangunan. Mutakhir Amerika dan Singapura diberitakan akan memulangkan hampir RM1 bilion kepada Malaysia sebagai hasil proses repatriasi kehakiman wang haram 1MDB. Pengumuman Perdana Menteri hendak mengecilkan perkhidmatan awam menerima tentangan senyap. Di tiga pilihan raya kecil tersebut di atas sokongan kakitangan kerajaan amat minimum. Dari segmen tentera dan polis hal ini juga tampak ketara. Perihal ini jika tidak bijak ditangani akan melemahkan PH kerana rata-rata kejayaan atau kegagalan pemerintahan bergantung secara substantif kepada perkhidmatan awam.
PM 2 TAHUN, KERAJAAN SEPENGGAL
Seperkara yang harus dilihat dari dekat mulai kini ialah sama ada Perdana Menteri akan bertukar dalam tempoh 1.5 atau 2 tahun PH memerintah. Isu ini jarang disingkap secara jelas melainkan hanya diborakkan di sudut-sudut dan liku tertentu. Segalanya bergantung kepada PM Tun Dr. Mahathir Mohamad yang beberapa kali telah memberi pengakuan akan melepaskan kerusi perdana itu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Cepat atau lambatnya peristiwa itu dilakukan bergantung kepada cepat atau lambatnya perubahan positif dilakukan untuk rakyat berasaskan manifesto PH. Jolokan suara ‘memerintah sepenggal’ kini sudah mula kedengaran sebagai laungan sinis. Pemimpin PH mesti merasai gegaran ini.
Para menteri yang diberi markah 5/10 oleh Perdana Menteri awal minggu ini wajar bingkas bangun dan lebih inovatif. Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan ada, tapi budayanya tak ada. Menteri perpaduan di JPM ada tetapi olahan perpaduan tiada.
Lekas terjemahkan manifesto kepada realiti. Jika keadaan ‘dalam ada tiada’ dan ‘dalam tiada ada’, rakyat akan bangkit sekali lagi dan membuat perubahan kepada yang lebih ‘ada’.
TAN SRI DR. RAIS YATIM ialah Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan.











